Article 2
Pekan, 31 Oktober- Ilmu
pengetahuan Sains dan Matematik boleh menyelesaikan masalah aplikasi teknikal
dalam aktiviti kesukanan. Malah, ilmu yang dikenali sebagai kejuruteraan sukan
ini mampu memajukan industri sukan di Malaysia.
Menurut Profesor UMP, Dr.
Zahari Taha dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) berkata, rekabentuk dan
penghasilan peralatan sukan memerlukan penyelidikan yang mendalam bagi memenuhi
keperluan dan kepuasan pengguna serta atlet dan juga untuk mempengaruhi
prestasi sukan.
"Bidang kejuruteraan
sukan ini meliputi rekabentuk peralatan sukan, pembinaan kemudahan untuk
aktiviti sukan, analisis prestasi atlet, penetapan standard dan spesifikasi
yang meliputi aspek keselamatan."
"Penyelidikan ini
melibatkan pelaburan modal yang besar kerana turut melibatkan perkhidmatan
jurutera yang pakar dalam bidang spesifik untuk menghasilkan alatan sukan yang
berdaya saing," katanya dalam Majlis Syarahan Profesor bertajuk
`Engineering the Athlete: the Road to Rio’ anjuran UMP dengan kerjasama Akademi
Sains Malaysia (ASM) bertempat di dewan kuliah 1 Fakulti Kejuruteraan Pembuatan
di UMP Pekan hari ini.
Katanya, pengoptimuman bagi
rekabentuk peralatan sukan dapat dicapai melalui rekabentuk dan bahan mentah
terkini serta proses pembuatan termaju. Bagi bidang Sains Sukan akan melihat
kepada fizikal seseorang atlit manakala bagi kejuruteraan sukan akan mengkaji
bagaimana interaksi atlit terhadap fasiliti kemudahan termasuk faktor
persekitaran. Sebagai contoh, sukan berbasikal adalah antara contoh aktiviti
sukan yang mendapat manfaat daripada kejuruteraan sukan.
Menurut beliau, pasukan dari
British telah bekerjasama dengan Universiti Southampton dalam menyertai
Kejohanan Olimpik Beijing telah menambah baik kesan aerodinamik terhadap
prestasi basikal peserta dan kesannya berjaya menunjukkan prestasi cemerlang.
Selain membincangkan keperluan
geran dan potensi penyelidikan dalam pembangunan industri sukan di Malaysia,
Profesor Dr. Zahari turut berkongsi kepakaran kejuruteraan sukan
bagi membolehkan Malaysia membawa pingat emas pertama dalam Kejohanan
Olimpik Rio pada 2016 nanti.
Majlis dihadiri Naib Canselor
UMP, Profesor Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Sukan
Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Saharuddin Hj Ismail. Hadir memperkenalkan
pemidato Profesor Abdul Ghaffar Abdul Rahman dari FKM.
Menurut Dato' Dr Daing Nasir,
penganjuran Majlis Syarahan Umum ini mengajak orang ramai terutamanya pelajar
universiti berkongsi ilmu, sudut pandang dan pengalaman dengan tokoh-tokoh
terkemuka negara yang diundang sebagai pemidato dalam usaha memasyarakatkan
kampus.
Katanya, UMP mengorak langkah
menganjurkan beberapa siri syarahan umum sama ada di peringkat universiti,
kebangsaan dan antarabangsa bagi berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman
melalui syarahan yang disampaikan oleh tokoh-tokoh pilihan. Hampir 300 di
kalangan pensyarah dan pelajar UMP serta pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang
mendapat manfaat dalam Majlis Syarahan Umum Profesor pada kali ini.
No comments:
Post a Comment